;

Thursday, August 6, 2009

ULAT-ULAT PENGOREK BATANG PADI


Ulat pengorek batang padi dianggap serangga perosak yang paling penting sedikit masa dahulu. Pada keseluruhannya serangga ini tidak lagi menjadi masalah besar kepada petani-petani kerana bilangannya sentiasa di bawah paras bahaya. Ini disebabkan oleh amalan penanaman dua kali setahun yang menggalakkan pembiakan musuh-musuh semuljadi dan pengawalan dengan bahan kimia yang berkesan.

Terdapat beberapa perbezaan fizikal diantara jenis-jenis ulat Pengorek Batang ini.

Edaran Hidup:

Kumpulan serangga-serangga ini mempunyai pusingan hidup penjelmaan lengkap iaitu dari telur, ulat (larva), kepompong dan dewasa. Adalah dianggarkan serangga ini mempunyai 5 hingga 10 jenerasi setahun dan semua peringkat edaran hidup boleh dijumpai bila-bila masa sahaja. Edaran hidup memakan masa selama 35 hingga 76 hari.

Peringkat Telur:

Penempatan telur-telur adalah bergantung pada jenis-jenis ulat pengorek batang. Kesemua jenis serangga ini mengeluarkan telur secara berkumpul, tiap-tiap kumpulan mempunyai 50 hingga 80 biji telur. Telur-telur ini menetas dalam masa 5-7 hari.

Peringkat Ulat:

Ulat-ulat yang baru menetas merayap ke bahagian hujung daun padi dimana mereka tinggal sekejap sahaja. Kemudian ulat-ulat ini akan turun ke pangkal pokok melalui celah-celah upeh daun dan memakan tisu-tisunya. Selepas satu minggu ulat-ulat ini keluar dari upeh daun dan mula pula mengorek batang padi, tinggal di dalam empulor dan melakukan kerosakan dengan memakan empulor batang. Ulat-ulat ini bertukar kulit 5 kali dan memakan masa selama 24 hingga 46 hari.

Peringkat Kepompong:

Peringkat ini berlaku di dalam batang, jerami atau tunggul dan memakan masa selama 6-11 hari. Peringkat ini tidak aktif atau tidak bergerak.

Peringkat Dewasa:

Kupu-kupu menjelma daripada kepompong dan keluar daripada batang padi melalui lubang yang telah dibuat di peringkat ulat. Kupu-kupu ini berpasangan selepas sahaja mereka keluar daripada kepompong dan tidak berapa lama selepas itu kupu-kupu betina mula bertelur. Kupu-kupu ini adalah cergas di waktu malam, tertarik pada cahaya dan kuat terbang. Mengawan biasanya berlaku diantara pukul 7 hingga 9 malam.

Serangan dan Tanda-Tanda Serangan:

Kupu-kupu ini tidak melakukan apa-apa kerosakan kepada tanaman padi. Hanya ulat-ulat sahaja yang melakukan kerosakan kepada tanaman padi. Sekiranya serangan berlaku semasa pokok padi di peringkat pertumbuhan, pucuk-pucuk tidak terbuka, bertukar menjadi keperangan dan kekeringan. Tetapi daun-daun di bahagian bawah atau pangkal tetap menghijau dan subur. Keadaan serangan seumpama ini dipanggil "mati pucuk" dan anak-anak padi yang diserang menjadi kering tanpa mengeluarkan tangkai buah. Apabila ulat menyerang pokok-pokok padi yang sedang berbunga, buah-buah padi akan menjadi putih dan tidak berisi.

No comments:

Post a Comment